widgeo.net

Saturday, November 16, 2013

KENYATAAN MEDIA KPISM

Merujuk kepada kenyataan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan bertarikh 16 November 2013. Di dalam Kenyataan tersebut, MEF mengesahkan ada majikan yang menyogok pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan LCCT.

Pihak Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 November 2013 (Isnin) berhubung perkara ini supaya pihak SPRM dapat mengambil tindakan dan siasatan berdasarkan kenyataan Presiden MEF yang mendakwa terdapat ahli-ahlinya yang menyogok pihak yang mengaku dirinya pegawai imigresen bagi mendapatkan jalan pintas dalam menyelesaikan urusan imigresen.

Pihak KPISM bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM supaya satu siasatan yang telus dapat dijalankan. KPISM juga memohon supaya pihak MEF tampil memberikan kerjasama kepada SPRM tentang dakwaan ahli-ahlinya yang menyogok untuk mendapat jalan pintas.

KPISM sangat komited dalam membantu pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan pucuk kepimpinan tertinggi Imigresen bagi membanteras salah laku dan aktiviti yang tidak berintegriti. Jika terbukti dan diputuskan oleh Mahkamah mana-mana pegawai imigresen bersalah, KPISM tidak akan berkompromi dan melindungi pegawai ini daripada dikenakan hukuman yang selayaknya.

KPISM sentiasa berkerjasama dengan semua pihak dalam menjaga dan memastikan pegawai-pegawai imigresen sentiasa berintegriti dan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab demi imej dan nama baik Jabatan Imigresen Malaysia

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia.

Putrajaya.  16.11.2013